Salam hormat semua
Petang tadi, seperti kebiasaan, sekitar jam 6 ptg aku keluar dari opis dan laluan yang akan diambil ialah melalui PutraJaya, kurang kenderaan, selesa pemanduan sbb kurang nak kena berhenti, boleh memandu secara konsisten dgn kelajuan yang bersesuaian.
Bagaimanapun, hari ni keadaan agak berlainan sedikit. Sebaik melepasi jambatan bagi laluan antara Hospital Serdang dan Marriot Putrajaya, hanya kurang daripada 100 meter, terdapat satu kemalangan yang rasanya baru sahaja berlaku. Dianggarkan begitu kerana melihat kepada keadaan enjin kenderaan yang masih lagi berasap dan boleh dikatakan tiada lagi kenderaan yang berhenti untuk membantu. Maka aku mengambil keputusan untuk berhenti sebentar untuk membantu apa yg patut.
Kemalangan berlaku melibatkan 2 buah kereta, tak silap Proton Wira dan Iswara. Dikatakan Iswara dalam perjalanan menuju kawasan Putrajaya manakala Wira dalam perjalanan keluar dari kawasan Putrajaya. Bagaimanapun ada saksi yang mengatakan, ketika menghampiri kawasan kemalangan, dipercayai Wira telah dipandu laju lalu ‘terbang’ ke laluan sebelah. Akibatnya, Wira telah bertembung dengan Iswara di laluan bersebelahan daan kemudian terdampar di bahu jalan manakala Iswara tersebut telah berpusing ke arah bertentangan.
Ketika berhenti, dari kereta terlihat pakaian berada di bawah kereta, maka aku bergegas ke sana, bimbang jika berlaku kebakaran terhadap kereta terbabit dan nak tau keadaan mangsa. Rupanya pakaian yang kelihatan itu adalah seorang wanita yang telah tercampak keluar dari kereta Wira dan ditimpa oleh kereta Wira yang telah terbalik. Seorang lelaki, dipercayai pemandunya pula masih berada di dalam kereta, tidak bergerak, mungkin sebab masih terkejut.
Aku memanggil orang ramai yang telah berhenti untuk membantu mengangkat kereta Wira bagi mengeluarkan wanita tersebut memandangkan beliau masih bernyawa. Aku hanya mampu mengangkat sekadar daya kerana tidak pasti keadaan kecederaannya. Yang kelihatan darah merah pekat mengalir, mungkin dari bahagian kepala akibat hentakan dari kereta yang menimpanya juga terhentak di atas jalan tar laluan motorsikal. Dia kelihatan umpama ‘nyawa-nyawa ikan’ dan rasanya ada bahagian tulang yang patah. Kena tunggu pihak perubatan untuk mengambil alih. Lepas tu pakat keluarkan pemandu pulak, tarik keluar ikut tingkap. Tak larat nak tarik sorang-sorang, mujur ada lagi 2 orang tolong tarik dia keluar. Dah angkat, letak kat atas rumput tepi jalan. Lepas tu tgk balik wanita tu, cuba ajar-ajar mengucap tapi tak pasti dia ikut atau tidak.
Kemudian cuba tgk kat kereta Iswara, ada 2 orang dalam tu, duduk depan, pemandu dan penumpang sebelah pemandu. Nampak tak bergerak. Dah mati ke? Keadaan enjin kereta memang remuk. Dashboard hampir rapat ke badan mereka. Sekurang-kurangnya memang pasti dah tersepit, takde apa yang org ramai boleh bantu, perlu tunggu bantuan daripada pihak bomba untuk potong dan keluarkan. Cuba pergi dekat lagi, nampak pemandu masih bernafas tapi penumpang seakan sudah tak bernyawa. Apa pun tiada siapa dapat membantu keluar sebab mereka tersepit dan perlukan alat untuk memotong dan menarik keluar mereka. Bila dah macam tu, aku buat keputusan untuk beransur sebab apa yang mampu untuk dibantu dah dibuat. Nak tolong call pihak hospital dan bomba, handphone pulak dah habis bateri. Cuma pesan-pesan pada yang ada mintak tolong buat panggilan kecemasan dan aku pun beransur pergi.
Semoga semua mereka akan selamat, terutama yang tersepit dan si wanita. Betapa seksanya keadaan dia, tak dapat nak dibayangkan, menanggung kesakitan. Kasihan juga pada yang di dalam Iswara sebab kesilapan orang lain mereka juga mengalami kemalangan yang mengerikan.
Nota: Tiada gambar diambil sebab tak bawak kamera




