Beware when buying things at PC Fair
Tuesday, April 22nd, 2008Howdy All,
I think this is a good article to share with everyone since I know there are many people eagerly waiting for PC Fair to buy computer items at reasonable price. But please read the news pasted below as a future precaution.
Komputer baru, komponen usang
KUALA LUMPUR: Sindiket penipuan dikesan menggunakan taktik licik dengan menjadikan karnival jualan komputer yang berlangsung baru-baru ini, untuk melambakkan komputer riba terpakai sebelum menjualnya kepada orang ramai sebagai komputer baru menggunakan jenama terkemuka.
Kegiatan sindiket terbabit terbongkar apabila syarikat pengeluar komputer terkemuka itu menerima banyak aduan daripada pengguna yang mendapati komputer riba baru mereka menghadapi masalah selepas membelinya di ibu negara.
Harian Metro difahamkan, hasil siasatan syarikat pengeluar komputer terkemuka itu mendapati, ada sindiket membawa masuk komputer riba terpakai dari Amerika Syarikat ke negara ini dan menjualnya sebagai komputer baru dengan harga antara RM2,000 hingga RM3,000 seunit.
Wakil syarikat pengeluar komputer terkemuka itu juga ketika dihubungi mengesahkan siasatan mereka setakat ini mendapati sindiket terbabit turut menggunakan komponen tidak mengikut spesifikasi sebenar model komputer riba yang dijual kepada orang ramai.
Menurutnya, mangsa kebanyakan pelajar institut pengajian tinggi yang membeli komputer riba itu datang ke pusat perkhidmatan syarikat berkenaan bagi mendapatkan jaminan pembaikan selepas peralatan berkenaan menghadapi kerosakan, hanya beberapa hari selepas dibeli.
Katanya, siasatan bahagian perkhidmatan pelanggan mendapati komponen dalam komputer riba berkenaan tidak mengikut spesifikasi sebenar bagi model berkenaan selain komponennya juga tidak dikeluarkan syarikat itu.
“Kami juga melakukan siasatan di tapak karnival di beberapa negeri termasuk di ibu negara dan mendapati sindiket terbabit menjadikan lokasi berkenaan sebagai pusat lambakan komputer riba dengan menggunakan jenama komputer riba terkenal milik syarikat kami.
“Mereka juga menggunakan kad jaminan, tetapi tidak mahu bertanggungjawab apabila komputer riba dijual menghadapi masalah dan ini menyebabkan pembeli datang ke bahagian perkhidmatan pelanggan kami untuk membuat tuntutan sedangkan kami tidak pernah menjual komputer riba berkenaan,” katanya kepada Harian Metro, semalam.
Beliau berkata, kebanyakan pengguna yang menghadapi masalah penipuan itu disaran membuat laporan polis serta merujuk kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna untuk tindakan lanjut.
“Pengguna juga boleh datang ke pusat perkhidmatan kami untuk pemeriksaan komputer riba yang dibeli kerana kami akan membuat siasatan sama ada ia tulen atau sudah diubah suai.
“Syarikat juga dalam proses mengambil tindakan undang-undang terhadap sindiket berkenaan bagi menjamin kepentingan pengguna kerana sindiket itu menggunakan jenama syarikat kami bagi memperdayakan orang ramai,” katanya.
Seorang pembeli, S Naraya, 33, berkata dia membeli komputer riba jenama terkemuka itu ketika mengunjungi Pesta Jualan Komputer di ibu negara, 13 April lalu.
“Sebaik tiba di rumah saya dapati komputer berkenaan menghadapi masalah kerana tidak dapat berfungsi.
“Esoknya saya ke pesta itu semula, malangnya ia sudah berakhir dan saya menghubungi syarikat penjual komputer itu untuk mendapatkan jaminan, tetapi mereka enggan bertanggungjawab.
“Jadi saya ke pusat perkhidmatan pelanggan syarikat pengeluar komputer terkemuka ini sebelum dimaklumkan model komputer riba yang saya beli di pesta berkenaan tidak mengikut spesifikasi sebenar menyebabkan ia menghadapi masalah dan kerosakan,” katanya.
Naraya yang juga jurutera berkata, lebih mengejutkannya apabila syarikat pengeluar komputer terkemuka itu memaklumkan mereka tidak pernah menjual model komputer berkenaan dan menyarankannya membuat laporan polis.
“Saya membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi pada 16 April lalu kerana ditipu sindiket itu,” katanya.
Wee Fei Soo, 24, pula berkata komputer riba yang dibelinya di pesta berkenaan di ibu negara juga menghadapi masalah menyebabkan dia segera merujuk ke pusat perkhidmatan syarikat pengeluar komputer itu.
“Saya dimaklumkan syarikat berkenaan tidak pernah mengeluar atau menjual model komputer riba jenis itu dan komponen yang digunakan juga tidak mengikut spesifikasi ditetapkan.
“Wakil pengeluar komputer terkemuka itu juga memaklumkan komputer riba dikeluarkan syarikat berkenaan sentiasa mempunyai pelekat keselamatan Sirim.
“Saya dapati komputer yang dibeli di pesta berkenaan tidak ada pelekat Sirim selain kotaknya juga tidak sama dengan komputer yang dikeluarkan syarikat komputer terkemuka itu,” katanya.
N Maran, 36, pula memberitahu dia terkejut apabila dimaklumkan komputer riba yang dibelinya di karnival komputer di ibu kota, baru-baru ini tidak mengikut spesifikasi sebenar.
“Kita pembeli hanya melihat jenama, tapi saya tidak menyangka ada sindiket mengambil kesempatan menipu orang ramai di pesta itu.
“Saya juga membuat laporan polis dan merujuk kes ini kepada Tuntutan Tribunal Pengguna.
“Saya berharap orang ramai jangan terpedaya dengan jualan murah di pesta berkenaan kerana mungkin ada sindiket yang cuba mengambil kesempatan menjual komputer terpakai dan mendakwa ia barang baru,” katanya.




